KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) merampas sebanyak 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku yang dipercayai diimport tanpa permit sah dalam satu operasi penguatkuasaan berasaskan risikan di sekitar Kota Kinabalu.
Operasi diketuai DVS Wilayah Kota Kinabalu itu bermula dengan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar, sebelum tindakan susulan dijalankan di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.
Hasil pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh DVS.
Menurut DVS Sabah, sitaan dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, melibatkan nilai anggaran rampasan RM268,410.00.
Tindakan itu diambil bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan import serta piawaian keselamatan makanan.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menzahirkan penghargaan kepada pasukan DVS atas kejayaan operasi berkenaan.
Beliau menegaskan kerajaan negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan sah kerana boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem kawalan makanan.
“Operasi ini membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, memaklumkan operasi dilaksanakan secara terancang dan berperingkat dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kerjasama strategik yang membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksana dengan berkesan dan berintegriti.
DVS Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pemantauan import produk haiwan dan makanan demi menjamin keselamatan makanan serta melindungi kepentingan pengguna di Sabah.






