KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya tiga pihak tampil membantah had kuota subsidi diesel 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI, dengan menyifatkannya tidak selaras dengan realiti penggunaan di Sabah.
Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan menaikkan kuota kepada sekurang-kurangnya 300 liter sebulan, khususnya bagi Sabah dan Sarawak.
“Kuota 200 liter sebulan tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar pengguna di Sabah dan Sarawak, di mana jarak perjalanan lebih jauh dan cabaran pengangkutan lebih kompleks,” menurut kenyataan YPNM Sabah.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, berkata keadaan geografi Sabah memerlukan penggunaan diesel yang lebih tinggi.
“Bagi penduduk di kawasan pedalaman, perjalanan beratus kilometer setiap minggu adalah perkara biasa. Dalam keadaan ini, had 200 liter sebulan jelas tidak mencukupi,” katanya.
Beliau menambah penggunaan kenderaan pacuan empat roda serta keperluan sektor pelancongan dan pertanian turut meningkatkan penggunaan bahan api.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kuota sedia ada tidak realistik bagi kebanyakan rakyat luar bandar.
“Penduduk pedalaman perlu bergerak jauh untuk mendapatkan perkhidmatan asas dan menjalankan aktiviti ekonomi. Kuota 200 liter sebulan dilihat kurang mencukupi bagi mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Ketiga-tiga pihak itu menegaskan sokongan terhadap usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi, namun menggesa agar dasar tersebut disemak semula supaya lebih adil dan praktikal, khususnya bagi Sabah yang berdepan realiti penggunaan bahan api berbeza.






