KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan Sabah memiliki bakat dan kemahiran yang mampu bersaing seiring dengan perkembangan pesat teknologi serta keperluan ekonomi masa depan.
“Ini akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang AI, teknologi digital serta sektor strategik berimpak tinggi yang lain,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal, ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, tema persidangan, “Merapatkan Sempadan, Membina Masa Depan: Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Pembangunan Mampan dan Transformasi Digital di Asia”, amat bertepatan ketika dunia berdepan perubahan teknologi yang semakin pantas.
Menurutnya, Sabah turut berdepan pelbagai cabaran dalam memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat termasuk faktor geografi, kepelbagaian etnik serta jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, kolej komuniti, pusat latihan vokasional dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memperluaskan akses kepada pendidikan berterusan.
“Persoalan yang perlu kita jawab bukanlah sama ada pembelajaran sepanjang hayat itu penting, tetapi bagaimana kita membina sistem, jalinan kerjasama dan minda yang mampu menjadikan pembelajaran sepanjang hayat lebih mudah diakses, saksama dan berkesan untuk semua,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan AI, analitik data raya, pembelajaran mesin dan platform digital kini mengubah landskap pendidikan, perdagangan, tadbir urus serta interaksi sosial, sekali gus membuka peluang besar kepada universiti untuk memperluaskan akses pendidikan menerusi platform dalam talian, mikrokelayakan, bilik darjah maya dan pembelajaran diperibadikan berasaskan AI.
Hajiji berkata, persidangan itu turut menghimpunkan tokoh akademik yang memainkan peranan penting dalam transformasi digital dan inovasi pendidikan, selain menerima 12 kertas penyelidikan daripada penyelidik di seluruh rantau Asia.
Beliau turut memaklumkan bahawa ASAIHL 2026 berjaya menarik penyertaan peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Uzbekistan, Kemboja dan Perancis, sekali gus mencerminkan kepelbagaian tradisi akademik serta memperkukuh pertukaran ilmu di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, beliau memuji peranan UMS yang terus memperkukuh kedudukannya sebagai rakan pembelajaran sepanjang hayat menerusi pelbagai program jangkauan, pembangunan profesional dan libat urus komuniti.
“Saya berharap lebih banyak institusi dan organisasi yang berkongsi aspirasi sama akan mencontohi usaha seperti ini dalam mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.






