KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, tuntutan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak wajar ditolak hanya atas alasan perundangan, sebaliknya perlu dirujuk kepada Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Beliau menegaskan prinsip itu merupakan asas pembentukan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan bukan sekadar tuntutan politik.
“Cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai isu politik semata-mata kerana ia berkait rapat dengan semangat MA63,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Masiung berkata kenyataan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi), Azalina Othman Said di Dewan Rakyat berhubung perkara itu boleh mencetuskan polemik yang tidak sihat.
“Jawapan itu boleh menimbulkan ketegangan politik dan mengores hati rakyat Sabah dan Sarawak seolah-olah cadangan penambahan kerusi Parlimen ditentang,” katanya.
Menurutnya, pandangan tersebut juga dilihat bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini pada dasarnya bersetuju mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri berkenaan.
Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda pada 3 Mac lalu, Azalina menjelaskan cadangan itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia mempunyai implikasi kepada negeri-negeri lain.






