APM Terus Relevan – Armizan Ali

APM Terus Relevan – Armizan Ali

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tetap kekal relevan menggalas tanggungjawab sebagai agensi yang berperanan memberikan kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat berhubung agenda Pertahanan Awam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata berdasarkan Akta 221, APM mempunyai tiga komponen utama iaitu Pegawai Tetap, Sukarelawan dan Ahli atau Pasukan Bantuan.

“Komponen berkaitan Auxiliary Member (Ahli atau Pasukan Bantuan) dilihat perlu diperkasakan sebagai platform bagi mana-mana individu dan organisasi yang kompeten untuk membantu pihak APM dalam memberikan khidmat yang lebih berkesan dan menyeluruh kepada masyarakat.

“Justeru itu, APM yang kini memasuki usia 71 tahun penubuhan sejak ditubuhkan pada 1952 memperkenalkan Civil Defence Auxiliary (CDA) yang merangkumi 12 kluster pengkhususan sesuai dengan peranan yang boleh dilaksanakan oleh CDA bagi memperkasa fungsi Pertahanan Awam seperti mana yang tertakluk dalam Akta 221,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam, semalam.

Disamping itu, Armizan berkata, pada masa ini sebanyak 12 Pasukan CDA sudah dapat direalisasikan penubuhannya dengan mewakili 12 kluster yang diperkenalkan berdasarkan tiga skop bantuan utama CDA.

“Tiga skop berkenaan adalah Skop Latihan yang merangkumi latihan generik/umum atau latihan fungsional; Skop Kepakaran merangkumi teknologi maklumat (IT) dan telekomunikasi, mekanikal dan kesihatan, penyelamatan, sivil dan geologikal serta media.

“Skop ketiga adalah Skop Pelbagai iaitu pengurusan kem dan pusat perlindungan, WASH, makanan dan khidmat kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, antara strategi yang digerakkan adalah membentuk kerjasama strategik dan persefahaman dengan pihak-pihak yang dikenal pasti boleh membantu pemerkasaan pembabitan awam dalam gerak kerja APM.