SANDAKAN: Kegiatan sindiket mencuri dan mengagihkan bekalan elektrik secara haram di beberapa penempatan setinggan sekitar daerah ini berjaya dibongkar menerusi operasi bersepadu selama tiga hari yang diketuai oleh Energy Commission of Sabah (ECoS), dengan penahanan empat individu warga asing baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM40 hingga RM100 bagi setiap rumah yang menerima bekalan elektrik melalui sambungan haram.
“Hasil operasi, empat individu bukan warganegara dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri serta mengagihkan bekalan elektrik secara haram kepada rumah-rumah di penempatan setinggan telah dikenal pasti dan ditahan bagi membantu siasatan.
“Keempat-empat individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(1)(b), Seksyen 61(1), Seksyen 61(3)(a) dan Seksyen 61(8), Enakmen Bekalan Elektrik 2024,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, bagi kesalahan di bawah Seksyen 8(1)(b) dan Seksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024, pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam operasi sama, ECoS turut membuka 35 lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang melibatkan 26 individu bukan warganegara dan sembilan warganegara.
Menurut Abdul Nasser, semua kes berkenaan dijangka akan dibawa ke mahkamah selepas proses siasatan selesai.
Operasi bersepadu itu melibatkan kira-kira 80 pegawai daripada ECoS, Sabah Electricity (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Air Negeri Sabah.
“Operasi bersepadu seperti ini akan terus dipergiat bagi membanteras kegiatan kecurian elektrik yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan seperti renjatan elektrik dan kebakaran.
“Selain tindakan penguatkuasaan oleh ECoS, Sabah Electricity turut melaksanakan pendekatan meter house bagi mengurangkan risiko sambungan elektrik secara haram serta memastikan bekalan elektrik yang lebih selamat dan teratur kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata, ECoS komited memperkukuhkan penguatkuasaan melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membendung kegiatan kecurian elektrik serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik di Sabah.






