BEAUFORT: Seorang lelaki ditemukan maut hari ini selepas hilang selama tiga hari yang dipercayai lemas ketika menyeberang sungai menggunakan bot untuk menghantar barang dalam kejadian di Kampung Bangkalalak di sini, pada Rabu lalu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.24 malam Rabu lalu.
“Menurut laporan awal dari pengadu, mangsa, Boy Abdullah, 20 tahun menyeberangi sungai menggunakan bot untuk menghantar barang, namun pada jam 4 petang hari yang sama bot mangsa ditemui tiada pengemudi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian segera dijalankan menyelusuri tebing sungai di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang namun mangsa belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Begitu pun, operasi SAR hari ketiga telah membawa kepada penemuan mayat mangsa menerusi bot orang kampung pada jam 9.19 pagi yang berada sejauh tiga kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepasa pihak polis untuk tindakan lanjut dan setelah memastikan tiada lagi bahaya lain wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.16 pagi tadi,” jelasnya.