TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 23 tahun bersama dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Kampung Titingan, Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sekitar jam 4.50 petang di lokasi kejadian.
“Ketika serbuan dilakukan suspek tidak menyedari kehadiran pihak polis dan hasil siasatan awal, suspek telah menyerahkan satu bungkus plastik lutsinar di dalamnya terdapat satu peket plastik berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 52.06 gram bernilai RM5,000.
“Hasil pemeriksaan awal saringan air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan permohonan reman ke atas suspek akan dilaksanakan pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut kes.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jasmin memberitahu, usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah juga sedang giat dijalankan terhadap individu lain yang disyaki.
Tambahnya, Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan lagi usaha dalam membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif.
Sementara itu, beliau menyeru masyarakat di daerah Tawau khususnya agar dapat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah termasuk di kalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang di talian hotline 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).