MELAKA: Hubungan antara Sabah dan Melaka terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali Mohd Rustam di Istana Melaka, Bukit Beruang, hari ini.
Kunjungan berkenaan menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan kepentingan bersama, selain mempererat hubungan antara Sabah dan Melaka.
Hajiji bersama rombongan tiba di Istana Melaka kira-kira jam 3.35 petang dan disambut oleh Tun Mohd Ali.
Turut mengiringi Ketua Menteri ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang; Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohd Razali Mohd Razi.
Dalam pertemuan itu, Hajiji dan Tun Mohd Ali turut mengadakan perbincangan serta bertukar pandangan mengenai pelbagai aspek yang menyentuh kepentingan kedua-dua negeri.
Kunjungan berkenaan kemudian diakhiri dengan jamuan petang.






