Kesatuan Sekerja Global Fail Aduan Terhadap Pengeluar Pakaian Di Myanmar

Kesatuan Sekerja Global Fail Aduan Terhadap Pengeluar Pakaian Di Myanmar

0
SHARE
Sidang media Kesatuan IndustriALL Globa mengenai eksploitasi pekerja industri tekstil Myanmar...(Sumber Foto: AFP)

GENEVA – Sebuah kesatuan sekerja global baru-baru ini mengumumkan ia sudah memfailkan aduan terhadap tiga jenama pakaian utama iaitu Next, New Yorker, dan LPP, berhubung dakwaan mereka masih terus menghasilkan pakaian di Myanmar yang menindas pekerja.

Memetik laporan AFP, Kesatuan IndustriALL Global yang berpusat di Switzerland berkata bahawa mereka bersama dua kesatuan di Myanmar yang diharamkan, CTUM dan IWFM, memfailkan aduan terhadap tiga jenama itu.

Antara dakwaan yang difailkan ialah tuduhan bahawa mereka melanggar garis panduan antarabangsa yang dipersetujui mengenai amalan perniagaan yang bertanggungjawab, dengan kerajaan junta tentera membiarkan eksploitasi pekerja.

Ketiga-tiga syarikat berkenaan tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk komen mengenai perkara itu.

Garis panduan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), antara lain, menetapkan keperluan syarikat multinasional beroperasi secara beretika dan bertanggungjawab berhubung hak asasi manusia dan hak pekerja, kata IndustriALL.

IndustriALL menegaskan bahawa hal itu mustahil untuk dilaksanakan atau beroperasi di Myanmar, berikutan negara itu berada dalam keadaan kacau-bilau sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi pada 2021 dan melancarkan tindakan keras yang mencetuskan pemberontakan bersenjata.

IndustriALL, sebuah kumpulan mewakili kira-kira 50 juta pekerja melalui lebih 600 gabungan kesatuan sekerja, dalam satu kenyataan memberi memberi amaran bahawa industri tekstil dan pakaian menjadi sumber penting junta tentera Myanmar untuk kemasukan wang asing ke dalam ekonomi yang sedang runtuh.

“Pada masa sama, junta tentera Myanmar mengharamkan kesatuan sekerja dan menangkap pemimpin kesatuan,” kata IndustriALL sambil menegaskan bahawa tanpa kebebasan menubuhkan pertubuhan, kesatuan dan pertubuhan pekerja tidak dapat berfungsi.

Menjelaskan aduan yang difailkan di pusat hubungan kebangsaan OECD di Britain, Jerman, dan Poland, di mana terletaknya ibu pejabat ketiga-tiga syarikat itu, selain di Belanda, IndustriALL turut menekankan laporan mengenai pelanggaran hak pekerja yang serius dan pengurangan gaji.

“Jenama-jenama yang kekal di Myanmar sedang mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada persekitaran yang mengerikan, buruh paksa, dan eksploitasi,” kata Setiausaha Agung IndustriALL, Atle Hoie, dalam kenyataan berkenaan.

Tambah beliau, terdapat laporan yang meluas lagi menyeluruh mengenai pelanggaran hak pekerja yang melampau memandangkan kesedaran hak asasi manusia perlukan pembabitan pekerja dan pengesahan bebas, yang mustahil dilakukan di bawah pemerintahan tentera.

IndustriALL sedang menjalankan kempen untuk menggesa jenama-jenama antarabangsa supaya menarik diri daripada beroperasi di Myanmar.

Pada 2022, perbincangan yang diadakan dengan beberapa jenama pakaian besar berakhir dengan persetujuan untuk menarik diri atas dasar tanggungjawab dari negara Asia Tenggara itu, yang dipatuhi oleh jenama seperti H&M, Primark, dan Lidl.

“Terdapat bukti ketara mengenai pelanggaran sistemik hak pekerja dan jenama-jenama yang kekal di Myanmar tidak boleh mendakwa mereka tidak tahu mengenai penindasan ini…

“Jenama-jenama yang kekal di Myanmar patut berasa malu kerana mengutamakan keuntungan berbanding melindungi hak asasi manusia dan hak pekerja,” kata Hoie.

Tegas beliau lagi, kesatuan sekerja itu sedang mempertimbangkan lebih banyak aduan terhadap jenama-jenama lain yang masih beroperasi di Myanmar, sebagai tekanan kepada kerajaan junta tentera untuk bersikap adil.

– AFP