Wanita GRS Diberi Ruang Tanding PRN-17 – Hajiji

Wanita GRS Diberi Ruang Tanding PRN-17 – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diberi ruang untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17(PRN17).

Namun demikian, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemilihan calon hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Tertinggi GRS yang akan diadakan pada hujung November ini.

Ini adalah susulan laporan berita yang dikeluarkan semalam mengenai Wanita GRS yang diketuai, Datuk Seri Azizah Dun telah mengemukakan senarai nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang ini kepada Hajiji.

“Kita akan bawa perkara ini dalam Mesyuarat Tertinggi GRS yang akan kita adakan tidak berapa lama lagi.

“Saya tidak boleh membuat keputusan seorang diri, kita kena berbincang dengan kawan-kawan kita di dalam GRS, bagaimana kita menghadapi pilihan raya yang akan datang termasuklah memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin wanita kita untuk bertanding di dalam pilihan raya,” katanya, seperti yang dilaporkan Sabah Media.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Taklimat Gerak Kerja Wanita Gabungan Rakyat Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji turut dilaporkan berkata, pemilihan calon GRS yang akan bertanding nanti, selain berkebolehan dalam berpolitik, ia juga mengambil kira calon boleh menang.

Menurut beliau, mengetengahkan calon boleh menang ini adalah penting untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat dalam pilihan raya itu nanti.

“Dalam pilihan raya, kita akan mengetengahkan calon yang boleh menang. Ini amat penting kita tidak kira daripada parti mana asalkan kita dapat laporan dan kita fikirkan bahawa calon itu adalah yang terbaik untuk kita ketengahkan dan boleh menang kerana kita yakin kita akan mendapat kepercayaan sekali lagi daripada rakyat dalam pilihan raya,” tegasnya.