KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) berpotensi menjalin kerjasama dengan kementeriannya bagi membantu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara di Sabah.
Dalam hal ini beliau menyarankan supaya QSB menjadi salah satu daripada syarikat vendor yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Program Pembangunan Vendor (PPV) membuka peluang kepada para vendor yang berdaftar dengan syarikat Anchor mendapatkan bimbingan dari segi latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta peningkatan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke QSB di Menara Kinabalu, di sini semalam.
Dalam kunjungan itu Ewon turut diberikan taklimat berkaitan SME Investment Partner (SIP) Programme yang dilaksanakan oleh Qhazanah Investment (QISB) dengan sokongan dana daripada SME Corp, agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Saya sangat berpuashati dengan pencapaian cemerlang Qhazanah Investment yang memastikan dana SIP telah dilaburkan ke syarikat-syarikat PKS negara yang hari ini telah memberikan pulangan pelaburan.
“Perbincangan dengan QSB juga berkisar kepada potensi-potensi kerjasama yang boleh diperkasakan terutama membangunkan PKS negara di Sabah.
“Saya ucap terima kasih kepada Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yacob dan pengurusan tertinggi QSB dan QISB yang menerima kunjungan serta perbincangan ini,” katanya.
Turut sama dalam kunjungan itu Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Dompok, Pengarah SME Corp Sabah Valentine Thomas dan Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Amos Thien.