KOTA KINABALU, SABAH – Mayat seorang warga emas ditemui berbuih di mulut di Pantai Tanjung Aru 3 berhampiran Stesen Meteorologi kira-kira pukul 6.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata siasatan tidak menemui sebarang kecederaan pada tubuh badan mangsa berumur 73 tahun itu.
“Tiada sebarang kesan pergelutan dan setakat ini belum ada sebarang unsur jenayah. Siasatan mengikut kes Mati Mengejut,” katanya…
Mengulas lanjut, Zaidi berkata kunci kereta mangsa ditemui di bawah sebuah kenderaan Proton Gen 2 yang berparkir 100 meter dari kawasan mayat ditemui.
“Dompet dan telefon bimbit mangsa masih berada di dalam kereta. Mangsa tinggal di Kepayan Ridge tetapi beralamat di Perdana Kobusak, Penampang,” katanya.
Beliau berkata anak lelaki mangsa telah hadir ke lokasi bagi tujuan pengesahan identiti.