KOTA KINABALU, SABAH – Sekolah Kebangsaan (SK) Malaing, Kalabakan menjadi lokasi pertama di Sabah menerima pemasangan Starlink berspesifikasi tinggi oleh agensi Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata SK Malaing merupakan salah satu daripada tiga lokasi yang dimohon untuk pemasangan Starlink selain daripada SK Bonor dan SK Longongon, Nabawan.
“Inisiatif ini merupakan tambahan fasiliti yang bersifat sementara bagi menawarkan kemudahan capaian internet yang stabil dan laju bagi kemudahan penduduk setempat.
“Sebagai langkah penyelesaian jangkamasa panjang, sebanyak 55 menara telekomunikasi baharu di bawah program JENDELA sedang dibina bagi memastikan Parlimen Pensiangan mempunyai liputan internet yang lebih meluas, laju dan stabil di masa hadapan.
“Saya telah mengadakan lawatan ke Kampung Malaing untuk meninjau dan mencuba sendiri prestasi perkhidmatan internet Starlink tersebut.
“Para penduduk di Kampung Malaing menyatakan penghargaan atas inisiatif yang telah dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital dan mereka amat berpuas hati dengan kelajuan dan kestabilan capaian internet oleh Starlink,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Arthur dalam pada itu turut berkata merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar terutamanya kawasan pedalaman Sabah merupakan salah satu agenda yang diperjuangkan oleh beliau sejak menjadi Ahli Parlimen Pensiangan.
Katanya, pihaknya percaya akses kepada capaian internet dan teknologi akan membantu mewujudkan pelbagai peluang bagi sesebuah sesebuah komuniti untuk memacu perubahan ekonomi yang signifikan seterusnya menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
“Sebagai Timbalan Menteri MOSTI, saya yakin capaian internet yang stabil akan membolehkan anak-anak di kawasan pedalaman untuk turut serta secara aktif dalam pembelajaran dalam talian (PdP).
“Di samping itu akan mampu menerokai teknologi dan kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (A.I), realiti maya (V.R), pengkodan dan pelbagai lagi yang dapat meningkatkan kemahiran diri mereka sejajar dengan keperluan pasaran industri di masa akan datang.
“Pemasangan peralatan Starlink di SK Malaing secara tidak langsung mencerminkan bagaimana hubungan erat antara pemimpin setempat, anggota pentadbiran dan juga agensi kerajaan dapat mewujudkan kerjasama merentasi agenda politik dalam memberikan perkhidmatan yang optimum kepada masyarakat umum.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta agensi yang terlibat dalam usaha untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar yang memberikan impak yang besar kepada komuniti setempat,” katanya.






