Autonomi Penuh Kepada BN Sabah Untuk Segala Urusan PRN Akan Datang Ini...

Autonomi Penuh Kepada BN Sabah Untuk Segala Urusan PRN Akan Datang Ini – Zahid Hamidi

0
SHARE
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi...

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan bahawa segala urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diserah sepenuhnya kepada pimpinan parti negeri.

Menurutnya lagi, perkara itu termasuklah urusan mengadakan rundingan pembahagian dan pemilihan calon BN bagi kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN itu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata hal ehwal pemilihan Ketua Menteri juga diserahkan kepada pihak negeri di bawah teraju kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengerusi BN dan UMNO Sabah.

“Demi menghormati kuasa autonomi yang diberikan, saya dengan ini memberi kepercayaan bagi pelaksanaan keputusan berkenaan kepada BN dan UMNO Sabah agar menggunakan sepenuh kebijaksanaan, rundingan dan kompromi bagi merealisasikannya,” katanya dalam sidang sidang media yang turut dihadiri Bung Moktar di Bangunan Parlimen, semalam.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 September (Sabtu) ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah, penamaan calon pada 12 September (Sabtu), dan pengundian awal pada 22 September (Selasa).

PRN Sabah dilaksanakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkenan untuk membubarkan DUN pada 30 Julai yang lalu.

Datuk Seri Bung Moktar Radin…

Sementara itu, Bung Moktar ketika ditanya mengenai logo yang akan digunakan BN dalam PRN berkenaan berkata, mereka akan menggunakan logo BN dan mengenai calon masih dalam proses diperhalusi serta akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat ini.