ESSCOM Jamin Keselamatan Pelayar Ke Pantai Timur Sabah

ESSCOM Jamin Keselamatan Pelayar Ke Pantai Timur Sabah

0
SHARE
Esscom
Victor (lapan dari kiri) bersama beberapa peserta dan pegawai keselamatan bergambar sebelum acara 'flagoff'' ( Sumber Foto: Ihsan ESSCOM )

SANDAKAN, SABAH – Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), DCP Datuk Victor B Sanjos, melepaskan rali kapal layar yang menyertai Ekspedisi ‘Sail Malaysia Passage To The East 2024’ pagi tadi di perairan Sandakan dekat sini.

Victor dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran semua pelayar ke pantai Timur Sabah dan memberi jaminan bahawa keselamatan mereka sentiasa diutamakan.

Beliau berkata program tahunan ini umpama suatu rahmat kepada ESSCOM khasnya dan negeri Sabah amnya kerana kehadiran peserta program saban tahun membuktikan kawasan pantai Timur Sabah yang terletak dalam kawasan Zon Selamat Sabah Timur atau ESS Zone adalah selamat.

“Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ESSCOM komited memastikan tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi dan menjadi keutamaan agenda keselamatan negara selaras dengan misi dan visi penubuhan ESSCOM itu sendiri.

“Kita berharap dengan kenyataan ini akan memberikan ketenangan minda kepada semua peserta ‘Sail Malaysia Passage To The East 2024’ dan seterusnya dapat menikmati keindahan permata tersembunyi atau ‘hidden gem’ yang terdapat di sepanjang perairan pantai Timur Sabah,” kata Victor.

Victor turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta pelayaran kerana memberikan kerjasama padu kepada kapal dan bot pengiring ESSCOM sehingga urusan kerja menjadi lebih mudah.

‘Sail Malaysia Passage To The East 2024’ yang merupakan program himpunan kapal layar terkenal dunia telah memulakan pelayaran di Sabah dari Kudat pada 26 Julai 2024, tiba di Sandakan pada 29 Julai 2024 dan seterusnya akan meneruskan pelayaran ke daerah Kinabatangan.

Pelayaran ini akan melabuhkan tirainya di Semporna pada 26 Ogos 2024.

Pelayaran kali ini disertai oleh 21 kapal layar dengan jumlah peserta seramai 55 orang dari 10 negara iaitu Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Portugal, Filipina, New Zealand, Jerman, Switzerland, Slovenia and Tanzania.