Polis Siasat Kes Rangka Manusia Ditemui di kawasan parit di Lahad Datu

Polis Siasat Kes Rangka Manusia Ditemui di kawasan parit di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lahad Datu sedang menjalankan siasatan mengenai penempuan satu rangka manusia di kawasan parit turunan Bukit Taman Pertama 1, di sini pada pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima panggilan melalui talian MERS 999 pada kira-kira jam 10.53 pagi kelmarin daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan rangka tersebut.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu rangka manusia di kawasan berkenaan. 

“Rangka tersebut kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan dan laporan forensik bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca kematian. 

Tambah Jimmy, polis menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Lahad Datu atau balai polis berhampiran.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga boleh menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, SM 152673 Ronney B. Lajius di talian 010-4641071 bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan di media sosial kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis serta mengganggu sensitiviti keluarga mangsa.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca sebenar kejadian,” katanya.