PKDM Sokong PGRS Pertahan Hak MA63 Sabah

PKDM Sokong PGRS Pertahan Hak MA63 Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Jumardie Lukman menegaskan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bertujuan memecah-belahkan negara, sebaliknya memperkukuh Persekutuan Malaysia secara adil dan berperlembagaan.

Beliau menyokong kenyataan Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Azrul Ibrahim yang menyeru penegasan hak Sabah demi mengukuhkan hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung tanpa menimbulkan ketegangan.

Menurut Jumardie, usaha menuntut hak negeri selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia yang menekankan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama antara negeri dalam Persekutuan.

“Ini bukan soal perpecahan, tetapi memastikan hak Sabah diiktiraf mengikut perlembagaan dan perjanjian yang telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut berkata titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan pedoman dalam menangani isu MA63 dengan kebijaksanaan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, tuntutan berkaitan pemberian khas Persekutuan, pembahagian hasil dan kuasa pentadbiran negeri adalah berasaskan peruntukan sah serta perlu ditangani secara adil, mengambil kira jurang pembangunan yang masih wujud.

“Tuntutan ini bukan berlebihan, tetapi hak yang menjadi asas penyertaan Sabah dalam Malaysia dan perlu ditunaikan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.