TAWAU: Polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan kes jenayah seksual membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dalam beberapa kejadian berasingan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, dua daripada suspek berusia 14 dan 17 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 11.50 pagi semalam di kawasan Kampung Jawa.
Menurutnya, seorang lagi suspek berusia 17 tahun ditahan dalam tangkapan susulan kira-kira jam 1.45 petang pada hari sama di perkarangan IPD Tawau.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis diterima Sabtu lalu berhubung dakwaan perbuatan jenayah seksual yang berlaku terhadap mangsa di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah Tawau sejak November tahun lalu hingga Februari tahun ini.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian dengan suspek berbeza, termasuk di kawasan rumah dan premis awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi individu turut disiasat berhubung satu kejadian berasingan di sebuah sekolah, di mana mangsa dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Polis sedang menjalankan soal siasat serta mendapatkan keterangan lanjut bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Jasmin turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jenayah seksual.
“Kes seperti ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” tegasnya.






