KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju ekonomi halal global apabila Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 dilancarkan secara rasmi hari ini dengan tema “Shaping Trust, Driving Resilience”.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, penganjuran edisi ke-22 MIHAS bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi simbol keyakinan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, dalam suasana dunia yang semakin kompleks akibat ketegangan geopolitik dan perubahan landskap perdagangan, Malaysia kekal bersedia untuk memimpin fasa baharu ekonomi halal.
“Persoalannya bukan sama ada pemulihan akan berlaku, tetapi siapa yang bersedia apabila ia berlaku. MIHAS 2026 adalah platform untuk kesiapsiagaan, ketahanan dan pembaharuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Lembut MIHAS 2026 di MITEC pada Selasa.
Beliau berkata, ekonomi halal global yang kini bernilai kira-kira AS$3.5 trilion dijangka berkembang kepada AS$5 trilion menjelang 2030, sekali gus membuka peluang luas kepada pemain industri.
Halal kini arus perdana global
Abu Bakar menjelaskan, konsep halal kini tidak lagi terhad kepada makanan atau pematuhan agama semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi simbol kepercayaan, kualiti, integriti dan ketelusan dalam perdagangan global.
“Dalam dunia hari ini, pengguna lebih prihatin terhadap apa yang mereka beli. Halal bukan lagi niche, tetapi peluang arus perdana global,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem halal global melalui piawaian yang kukuh, termasuk pensijilan diiktiraf antarabangsa seperti JAKIM.
Prestasi perdagangan kekal kukuh
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan prestasi perdagangan Malaysia bagi suku pertama 2026 kekal memberangsangkan dengan peningkatan 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion.
Eksport pula meningkat 12.7 peratus melebihi RM426 bilion, manakala lebihan dagangan melonjak 54 peratus kepada RM63.22 bilion.
Malaysia juga kini berada di kedudukan ke-23 sebagai negara perdagangan terbesar dunia, selain mengekalkan status sebagai ekonomi halal nombor satu global selama sedekad.
Sektor halal negara turut mencatat pertumbuhan apabila nilai eksport mencecah RM68.52 bilion pada 2025, didorong oleh subsektor makanan dan minuman serta bahan halal.
Platform perdagangan generasi baharu
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata MIHAS 2026 bakal tampil dengan pendekatan baharu berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan padanan perniagaan.
Antara ciri utama termasuk pengesahan kuasa pembeli, padanan perniagaan secara ramalan serta penjadualan mesyuarat automatik bagi mempercepatkan proses transaksi.
“MIHAS bukan lagi sekadar pameran, tetapi platform berorientasikan hasil yang memberi fokus kepada peluang sebenar dan nilai komersial,” jelasnya.
Selain itu, penganjuran kali ini turut membuka akses kepada pasaran baharu seperti ASEAN, Asia Selatan, Asia Tengah dan Afrika.
Perkasa usahawan wanita ke pasaran global
MIHAS 2026 juga memperkenalkan inisiatif Women in Export (WiEX) bagi memperkasa penyertaan syarikat milik wanita dalam pasaran antarabangsa.
Menurut Abu Bakar, walaupun 20 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dimiliki wanita, penyertaan mereka dalam perdagangan global masih rendah.
“Inisiatif ini bertujuan membuka potensi eksport syarikat wanita, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.
Sasar pencapaian lebih tinggi
Mengimbas kejayaan MIHAS 2025, acara itu mencatatkan penyertaan 2,400 reruai dari 43 negara dengan nilai jualan RM6.05 bilion serta kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
Sehubungan itu, MIHAS 2026 menyasarkan penyertaan lebih meluas, penglibatan pembeli berkualiti tinggi dan capaian global yang lebih besar.
Abu Bakar menegaskan, kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk pemain industri antarabangsa menjadi pemangkin utama kejayaan tersebut.
“Dalam dunia yang penuh perubahan, perdagangan kekal sebagai jambatan utama. Malaysia bersedia membina kepercayaan dan memacu ketahanan bersama rakan global,” katanya.






