PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, menahan seorang lelaki tempatan dalam satu serbuan berkaitan kes dadah di daerah pada kira-kira jam 12 tengah hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata hasil pemeriksaan polis menjumpai tujuh paket plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) dengan anggaran berat kasar 552.60 gram, bernilai lebih kurang RM17,000.00.
“Ujian air kencing turut mendapati suspek berusia 36 tahun tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan,” katanya melalui kenyataan.
Beliau menasihati orang ramai supaya menjauhi dadah dan segera melaporkan sebarang maklumat jenayah atau aktiviti berkaitan dadah kepada pihak polis.






