KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan tindakan Warisan menonjolkan diri sebagai pejuang utama hak-hak Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah satu bentuk hipokrasi politik.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, semua pihak termasuk Warisan sepatutnya bersatu untuk memperjuangkan hak Sabah, bukannya menafikan ikhtiar pihak lain sambil mendabik dada sebagai ‘hero’.
“Masalahnya, ada pihak yang menuntut terpaling MA63 tetapi kenyataan dan tindakan mereka semasa berkuasa tidak selari,” katanya.
Beliau menegaskan contoh nyata ialah ketika Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan hak 40 peratus Special Grant Sabah berpihak kepada Sabah Law Society (SLS).
“Kalau dengar naratif Warisan, seolah-olah mereka lah yang membawa kes dan menang. Hakikatnya, semasa memegang kuasa 2018 hingga 2020, mereka sendiri tidak mengambil pendekatan untuk heret Kerajaan Persekutuan ke mahkamah,” ujarnya.
Armizan menambah, dalam isu hak minyak dan gas, Warisan juga enggan bekerjasama dengan Sarawak menuntut hak lima peratus Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum daripada PETRONAS.
“Apabila Sarawak berjaya, barulah Sabah dapat hak yang sama. Hari ini, bila SLS berjaya, Warisan potong corner tampil terpaling hero. Ini jelas wayang politik mereka,” tegas beliau.
Sebaliknya, Kerajaan Negeri pimpinan GRS telah menunjukkan komitmen berterusan dalam prosiding mahkamah.
Kerajaan Sabah menjelaskan rekod sejarah hasil persekutuan dari Sabah sepanjang 1964 hingga 1968 dan mengesahkan tiada rekod rasmi perundingan bagi menyemak kadar Special Grant dari 1974 hingga 2021.
Sepanjang prosiding, kerajaan negeri konsisten menegaskan hak 40 peratus tetap berkuatkuasa dan Sabah berhak menuntut tunggakan semakan kadar ‘Special Grant’.
Armizan menegaskan SLS sendiri mengiktiraf peranan Kerajaan Negeri pimpinan GRS dalam memastikan hak Sabah diperjuangkan, bukannya Warisan.
“Tiada isu siapa-siapa boleh memperjuangkan hak Sabah. Tapi apabila Warisan menuduh pihak lain pengkhianat, termasuk GRS, maka wajib bagi kami menjawab,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Sabah agar menolak hipokrasi politik dan memilih pemimpin yang konsisten memperjuangkan hak negeri.
“Jangan terpedaya dengan lakonan hero politik Warisan. Sabah mesti diselamatkan daripada kepura-puraan ini,” tegas Armizan.






