Beri Ketua Menteri Kuasa Penuh Lantik Pengarah Pendidik Negeri – ADUN Segama

Beri Ketua Menteri Kuasa Penuh Lantik Pengarah Pendidik Negeri – ADUN Segama

0
SHARE
Datuk Mohamaddin Ketapi, ADUN Segama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah dicadang diberi kuasa penuh untuk melantik Pengarah Pendidikan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi menyatakan cadangan itu adalah sebagai langkah awal menurunkan kuasa autonomi pendidikan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya percaya pihak kerajaan serius dalam mengangkat kualiti Pendidikan di peringkat Sabah.

“Ini ke arah persada setaraf kualiti pendidikan di peringkat kebangsaan.

“Oleh itu, kerajaan negeri juga perlu memikirkan cara dan langkah terbaik berhubung MA63 kerana perenggan ke 74 ucapan dasar kerajaan menyentuh mengenai komitmen Kerajaan Negeri memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam MA63, terutamanya dalam tuntutan hasil iaitu pemberian khas dan kepentingan rakyat Sabah melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

“Harus diingat dalam perjanjian tersebut juga melibatkan autonomi pendidikan dan kesihatan yang harus diberi penekanan di setiap perbincangan majlis tindakan tersebut di masa akan datang, seperti negeri jiran Sarawak, Sabah juga seharusnya berjuang bagi mendapatkan autonomi kedua-dua sektor tersebut agar Sabah dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain,” katanya.

Mohamaddin berkata demikian pada sesi perbahasan usul ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, Kerajaan Negeri perlu sedar bahawa kerancakan perkembangan industri pelancongan perlu selari dengan penyediaan produk dan prasarana yang baharu untuk terus menarik minat pelancong datang melawat negeri ini.