KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Belia Sabah (MBS) menganggarkan sebanyak 70 peratus
pengundi muda di negeri ini mempunyai tahap kefahaman politik yang rendah khususnya membabitkan kepentingan melibatkan diri dalam sistem demokrasi.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata seramai 932,541 pengundi muda dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun di Sabah yang bakal mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Jumlah tersebut mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan daripada
1,689,387 orang pengundi di Sabah…
“Sabah turut mencatatkan bilangan pengundi muda kelima tertinggi di seluruh Malaysia berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Oktober,” katanya.
Mengulas lanjut, Abqaree berkata pihaknya telah melaksanakan Program Literasi Politik (Undi-18) di enam zon seluruh Sabah tahun ini.
“MBS menganggarkan lebih kurang 70 peratus pengundi muda di negeri ini mempunyai tahap kefahaman politik yang rendah dalam konteks pengetahuan sejarah, parti politik, dan kepentingan melibatkan diri dalam pentas demokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas sidang media yang diadakan bertempat di Arena Belia Kementerian Belia dan Sukan Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abqaree turut berkata berikutan hasrat belia Sabah menginginkan pemimpin muda yang mengangkat suara mereka, pihaknya berharap MBS komposisi Dewan Rakyat selepas PRU15 menampilkan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 ahli parlimen daripada kalangan orang muda.
“Pada masa sama, ianm tturut mengambil kira sentimen pengundi muda di Sabah yang dahagakan pembangunan ekonomi, infrastruktur, dan taraf hidup lebih baik seperti di Semenanjung Malaysia.
“MBS berharap agar parti politik yang bertanding dapat menawarkan polisi pembangunan yang inklusif, realistik dan efektif selepas membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“MBS turut menyeru kepada semua pengundi muda di Sabah agar memilih pemimpin di
parlimen masing-masing berpandukan pertimbangan yang adil, saksama serta tidak terpengaruh dengan ucapan berasaskan sentimen,” katanya.
Sementara itu, Abqaree turut menggesa pengundi muda di seluruh Sabah menolak calon yang diketahui terlibat dengan rasuah
“Gesaan ini bertepatan dengan kempen belia di peringkat nasional yang digerakkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM), Belia Rasuah Busters,” katanya.