GRS Tempelak Warisan: “Kami Bekerja Untuk Rakyat, Bukan Bermain Politik”

GRS Tempelak Warisan: “Kami Bekerja Untuk Rakyat, Bukan Bermain Politik”

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak dakwaan Timbalan Ketua Penerangan Pusat Parti Warisan, Justin Wong, yang menuduh Kerajaan Negeri cuba “menumpang kredit” atas keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40 peratus hasil bersih Sabah, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan berunsur politik murahan.

Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Rafie Datuk Robert, berkata kenyataan itu membuktikan Warisan masih gagal memahami proses sebenar perjuangan menegakkan hak Sabah di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Warisan perlu sedar bahawa perjuangan menuntut hak Sabah bukan sekadar untuk populariti atau emosi. Ia memerlukan asas undang-undang, rundingan diplomatik, dan keazaman politik yang konsisten — bukan hanya pandai berteriak dari luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafie menegaskan, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan matang dan bertanggungjawab dalam memperjuangkan hak kewangan negeri termasuk hak 40 peratus hasil bersih, melalui saluran sah dan berpaksikan perlembagaan.

“Kerajaan Negeri tidak pernah menolak perjuangan Sabah Law Society (SLS). Kedua-dua pihak mempunyai peranan berbeza tetapi berkongsi matlamat sama iaitu mempertahankan hak Sabah. Perbezaan pendekatan bukan pertentangan, tetapi pelengkap kepada usaha bersama,” katanya.

Beliau menolak dakwaan Warisan bahawa Kerajaan Negeri berubah pendirian, sambil menegaskan dasar kerajaan sentiasa berpandukan kepada situasi semasa dan perkembangan undang-undang.

“Pendekatan Kerajaan Negeri bukan flip-flop, tetapi fleksibel dan berprinsip. Bila perlu berunding, kita berunding. Bila perlu bertindak tegas, kita bertindak. Itu kepimpinan berasaskan realiti, bukan retorik politik,” jelasnya.

Rafie turut mengingatkan bahawa Warisan hanya memerintah lebih dua tahun dan dalam tempoh itu tidak ada sebarang kemajuan bermakna dicapai dalam isu 40 peratus hasil bersih atau pelaksanaan MA63.

“Lebih dua tahun mentadbir negeri, Warisan gagal menunjukkan hasil konkrit. Sekarang bila kerajaan lain berjaya membawa kemajuan, mereka pula cuba menunggang isu dan menafikan usaha orang lain. Itu sikap tidak bertanggungjawab,” katanya yang juga Ketua Penyelaras Pemuda GRS Bahagian Keningau.

Beliau menegaskan perjuangan Kerajaan Negeri bukan untuk mencari nama atau kredit politik, tetapi memastikan keputusan mahkamah diterjemahkan kepada tindakan dan manfaat sebenar kepada rakyat Sabah.

“GRS tidak menunggang kemenangan sesiapa. Apa yang penting ialah memastikan hak Sabah dilaksanakan dan rakyat menikmati hasil perjuangan itu,” katanya.

Rafie turut menambah bahawa Kerajaan Negeri di bawah GRS kini meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berjalan lancar, termasuk menyemak semula formula pembahagian hasil dan menuntut bayaran tertunggak.

“Rakyat mahukan hasil, bukan pertelingkahan. GRS kekal fokus memperjuangkan hak Sabah dengan berhemah, berdasarkan fakta dan undang-undang. Warisan boleh terus bermain politik, tetapi Kerajaan Negeri terus bekerja untuk rakyat,” tegasnya.