KOTA KINABALU: Parti Perjuangan Rakyat (PR) yakin mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Inanam pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) selepas melancarkan jentera pilihan raya mereka pada Sabtu.
Majlis pelancaran di perkarangan Dewan Komuniti Inanam itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden II PR, Datuk Peter Chia, yang turut diumumkan sebagai calon rasmi parti bagi kawasan berkenaan.
“Saya bukan datang untuk mencari kuasa, tetapi untuk mengembalikan suara rakyat Inanam yang sudah lama terpinggir.
“Saya mahu berkhidmat kepada semua tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya.
Beliau turut menekankan beberapa isu utama di Inanam, termasuk peluang pekerjaan, infrastruktur asas, serta akses kepada pendidikan dan kesihatan.
“Inanam perlu pembangunan yang adil dan menyeluruh, bukan janji bermusim setiap kali pilihan raya,” katanya.
Antara fokus utama yang dijanjikan beliau ialah memperbaiki kemudahan asas, menyediakan latihan dan peluang pekerjaan untuk anak muda, menaik taraf kemudahan kesihatan dan pendidikan, serta memastikan kebajikan warga emas, OKU dan keluarga miskin terus dijaga.
Pelancaran itu turut dihadiri Presiden PR Datuk Saran Jumdail, Setiausaha Agung parti, serta wakil sayap Pemuda dan Wanita.






