Tuduhan Rasuah Bermotif Politik, Ahli PBS Digesa Fokus Menjelang PRU Sabah

Tuduhan Rasuah Bermotif Politik, Ahli PBS Digesa Fokus Menjelang PRU Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Pemangku Presiden Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Jahid Jahim, dengan menyifatkannya sebagai cubaan bermotif politik untuk melemahkan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 29 November ini.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata ahli dan penyokong parti perlu kekal fokus serta tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang sengaja dimainkan untuk mengalih perhatian rakyat.

“Pemimpin kita telah memberi penjelasan dan saya percaya seluruh kepimpinan serta ahli tetap teguh bersama PBS.

“Tuduhan ini hanyalah agenda politik yang cuba mencetus kekeliruan serta memecahbelahkan kekuatan parti,” katanya semasa sesi bertemu rakyat di Kampung Bambangan Lama, Kiulu, hari ini.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata PBS sentiasa berpegang pada nilai akauntabiliti, kejujuran dan ketelusan dalam perjuangan politiknya.

“PBS menghargai kepercayaan rakyat dan percaya keyakinan itu hanya dapat dikekalkan melalui integriti, khidmat dan tanggungjawab.

“Kita tidak akan tergugat oleh fitnah, sebaliknya terus bekerja demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan ahli agar kekal bersatu, berdisiplin dan fokus menghadapi PRN akan datang, sambil menegaskan PBS akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat mandat rakyat untuk mentadbir negeri.

Joniston menambah bahawa di bawah pentadbiran GRS, Sabah merekodkan hasil dan rizab tertinggi dalam sejarah, bukti jelas kepimpinan yang bertanggungjawab dan berkesan.

“Rakyat akan menilai berdasarkan rekod pencapaian sebenar, bukan fitnah yang disebarkan pembangkang,” tegasnya.