Pemuda Gagasan Rakyat Mahu Fairuz Dicalonkan di DUN Pintasan

Pemuda Gagasan Rakyat Mahu Fairuz Dicalonkan di DUN Pintasan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan untuk terus dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 akan datang.

Menurut kenyataan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Pitas, Asmey Ruddy, kerusi DUN Pintasan melambangkan keupayaan anak muda untuk memimpin, dan katanya, Fairuz telah membuktikan komitmen serta kecekapan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Sejak beliau berkhidmat, kita melihat usaha berterusan membangunkan kawasan Pintasan, memperluas ruang ekonomi dan mendekati masyarakat tanpa mengira lapisan umur. Beliau juga menjadi suara dan inspirasi kepada generasi muda untuk terus maju dan berdaya saing,” katanya.

Tambah beliau, kesinambungan kepimpinan Fairuz amat penting bagi memastikan kestabilan dan kemajuan DUN Pintasan terus terjamin.

“Atas semangat solidariti anak muda, kami berdiri teguh menyokong beliau untuk terus diberi kepercayaan bertanding seterusnya InsyaAllah akan mewakili rakyat di Pintasan,” ujar Asmey.

Untuk rekod, Fairuz sebelum ini merupakan penyandang kerusi DUN Pintasan selepas memenangi PRN Sabah ke-16 sejak lima tahun lalu.