Fairuz Renddan Tekad Teruskan Usaha Masyarakat Pintasan

Fairuz Renddan Tekad Teruskan Usaha Masyarakat Pintasan

0
SHARE

KOTA BELUD: Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, menegaskan fokus beliau adalah untuk meneruskan semua usaha yang telah dimulakan sejak lima tahun lalu semasa menjadi ADUN.

Keputusan beliau bertanding sebagai calon bebas selepas tidak dicalonkan GRS adalah demi memastikan projek dan program yang dirancang untuk rakyat Pintasan tidak tergantung.

“Fokus perjuangan saya ringkas, saya mahu teruskan semua yang sudah saya mulakan di Pintasan, termasuk pembangunan sosial, ekonomi, pelancongan, kebajikan dan pembangunan belia. 

“Saya tidak mahu usaha yang sudah dimulakan terhenti hanya kerana saya bukan lagi wakil rakyat mereka,” katanya.

Beliau merancang menaiktaraf rumah ibadat, mewujudkan Pusat Kebudayaan Irranun, dan membangunkan bandar baru Pintasan dengan pusat komersial Pintasan Square bagi membantu peniaga tempatan.

Fairuz juga menekankan pembangunan sektor perikanan, industri kecil dan sederhana (IKS), serta pelancongan komuniti dengan jeti dan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti.

Dari segi kebajikan, Fairuz bercadang menambah van jenazah, menyediakan elaun RM100 bagi warga emas yang ke hospital, dan mengekalkan usaha geran PANTAS untuk memastikan hak semua penduduk.

Beliau juga memberi tumpuan kepada pembangunan belia melalui aktiviti keusahawanan, kompleks sukan komuniti, dan insentif pendidikan bagi pelajar cemerlang serta mereka yang melanjutkan pengajian.

“Perjuangan saya sejak menjadi ADUN hingga kini adalah untuk memastikan semua penduduk Pintasan mendapat hak dan manfaat yang sepatutnya. Saya akan teruskan usaha ini tanpa henti,” tegas Fairuz.