KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat (G57) hari ini tampil membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal susulan satu video tular yang didakwa menghina dan memfitnah anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia, termasuk menuduh kononnya ada antara mereka bekerja sebagai pelacur.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan itu dibuat selepas beliau menonton video berkenaan yang dimuat naik melalui laman Facebook SabahNews 2.0, di mana Shafie didakwa memperkecilkan pekerjaan rakyat Sabah dengan menyatakan bahawa ramai hanya bekerja sebagai pekerja hotel, pengawal keselamatan, pekerja kilang dan pemandu.
Menurutnya, dakwaan Shafie bahawa terdapat anak-anak Sabah bekerja sebagai pelacur adalah satu tuduhan paling jahat, tidak berasas serta mencemarkan maruah rakyat negeri ini
“Kenyataan tersebut bukan sahaja menghina, malah menjejaskan imej dan reputasi anak-anak Sabah yang mencari rezeki secara halal di Semenanjung, termasuk pelajar kolej dan universiti yang bekerja sambil belajar. Ia juga berpotensi menimbulkan kegusaran dan kemarahan awam,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di IPD Karamunsing, hari ini.

Zulkarnain berkata, laporan itu dibuat bagi meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan tegas terhadap Shafie mengikut undang-undang sedia ada.
Antara peruntukan yang dicadangkan ialah, Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan niat mencetuskan pecah keamanan), Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut memaklumkan bahawa lebih ramai anak Sabah di Semenanjung Malaysia dijangka tampil membuat laporan polis kerana turut terkesan dan berasa dihina dengan kenyataan tersebut.
“Laporan ini dibuat bagi mempertahankan maruah seluruh anak Sabah yang bekerja keras tanpa mengira tempat demi masa depan keluarga mereka,” jelasnya.






