Tawaran, Permintaan Perumahan Tidak Seimbang Punca Penduduk Tidak Mampu Beli Rumah

Tawaran, Permintaan Perumahan Tidak Seimbang Punca Penduduk Tidak Mampu Beli Rumah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan perumahan menyebabkan kebanyakkan penduduk tidak mampu menjangkau nilai harga rumah di Sabah khususnya di daerah Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata, selain faktor kos bahan bina, nilai hartanah yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mempengaruhi keseluruhan kos.

Katanya, nilai yang ditawarkan tidak seimbang seperti membandingkan harga tanah di bandar Kota Kinabalu dan di tepi bandar Tawau.

“Bagaimana nilai ini boleh berada di dalam ‘rate’ yang lebih kurang sama, sedangkan kualiti sosial dua bandar ini adalah sangat berbeza.

“Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan menyebabkan pelabur mengambil satu langkah ke belakang dan ini sangat tidak sihat dalam memastikan perkembangan bandar Tawau seiring dengan keperluan rantau Nusantara yang pastinya memberikan impak kepada masyarakat terutamanya di pantai timur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan apakah terdapat data lengkap dalam mengenal pasti pendapatan penduduk sekitar untuk melihat ketersediaan mereka memiliki rumah.

“Adakah data yang lengkap dan terperinci dalam mengenal pasti ‘household income’ masyarakat sekitar Tawau, samada mereka bersedia untuk memiliki rumah atau lot komersil dan berapa ramai yang mempunyai ‘purchasing power’ atau sebaliknya.

“Ini kerana bandar Tawau perlu beradaptasi lebih ke hadapan dalam menyambut kerancakkan ibu kota baharu Indonesia kelak.

“Potensi ‘second home’ di Tawau boleh diterokai dengan lebih baik jika semua ini bergerak dalam alogritma yang sama,” tegasnya.