PUTRAJAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan menyiasat semua data syarikat penerbangan berkenaan dengan gangguan jadual perjalanan sepanjang tempoh perayaan dari 29 April sehingga 9 Mei.
Mavcom telah mengarahkan semua syarikat penerbangan bagi menyerahkan segala data berhubung gangguan jadual perjalanan bagi menilai punca asas kepada isu tersebut.
“Data yang dimohon ini termasuk informasi berkaitan penerbangan berjadual yang dirancang oleh operator tersebut berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula,” kata Mavcom dalam satu kenyataan.
Mavcom merujuk kepada aduan yang diterima berhubung tindakan syarikat penerbangan membuat perubahan secara sembarangan jadual tanpa ada notis mencukupi kepada pengguna.
Isu berkenaan tular diperkatakan ramai warganet yang meluahkan kekecewaan dengan tahap perkhidmatan disediakan apabila terpaksa membuang masa dengan menunggu begitu lama…
Mengulas lanjut, suruhanjaya tersebut berkata, siasatan yang dilaksanakan selaras dengan mandat Mavcom bagi menegakkan dan memelihara hak pengguna penerbangan negara ini.
“Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) diperkenalkan pada 2016 lalu dan diperkukuhkan lagi pada 2019 bagi bertindak sebagai titik rujukan pengguna,” katanya.





