PENAMPANG: Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 sekali lagi membuktikan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini kekal utuh, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik sepanjang perayaan itu menjadi bukti jelas bahawa semangat kebersamaan dan keharmonian terus menjadi kekuatan utama rakyat Sabah.
“Kehadiran kita semua menjadikan perayaan ini bukti perpaduan yang utuh masyarakat Sabah. Tidak lupa kepada semua pelancong yang datang untuk sama-sama memeriahkan perayaan ini. Perayaan ini adalah manifestasi kesyukuran atas tuaian padi yang melimpah dan simbol perpaduan kaum yang utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang di sini pada Ahad.
Menurut Hajiji, Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan budaya, malah menjadi platform penting untuk memelihara tradisi etnik daripada pupus, memupuk toleransi serta memperkukuh kestabilan politik dan pembangunan negeri.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa keteguhan perpaduan dan kebersamaan merupakan teras utama untuk memastikan Sabah terus maju dan menikmati pembangunan mampan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya, kerajaan negeri akan terus melipatgandakan usaha bagi memastikan kepesatan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
“Pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan, termasuklah memperkukuhkan ekonomi negeri menerusi agenda yang ditetapkan dalam Hala Tuju Sabah SMJ 2.0.
“Usaha ini termasuklah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkasa modal insan, melestarikan kesejahteraan rakyat baik di luar bandar mahu pun bandar dan memajukan sektor pelancongan melalui kebudayaan.
“Dalam usaha mencapai matlamat ini, sudah tentulah kerajaan memerlukan segenap lapisan rakyat di negeri ini untuk terus bersatu hati dan bersama dalam membangunkan negeri ini,” katanya.
Mengulas tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, Hajiji berkata tema itu amat signifikan dengan keadaan semasa yang menuntut rakyat terus bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran.
“Tema ini amat signifikan dengan suasana dan cabaran semasa yang kita sedang hadapi. Ketidaktentuan ekonomi, cabaran kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cabaran lain menuntut kita untuk terus sepakat, berganding bahu dalam menangani apa juga cabaran,” katanya.
Beliau berkata, Kaamatan turut mengingatkan rakyat bahawa setiap kejayaan dan kemakmuran memerlukan usaha gigih, kesetiaan bekerja serta semangat kerjasama yang tinggi.
“Masa depan Sabah yang makmur tidak akan terbina dengan retorik semata-mata, tetapi melalui kerja keras, kesepakatan, keharmonian dan keikhlasan seluruh lapisan rakyat.
“Semoga Sabah akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang aman, sejahtera, maju jaya dan dihormati berteraskan nilai-nilai budayanya yang unik, ditambah dengan sokongan padu daripada rakyat keseluruhannya,” katanya.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyempurnakan Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026.
Turut hadir isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.






