Hajiji Harap Interim RM1.5 Bilion Disalur Segera Demi Manfaat Rakyat

Hajiji Harap Interim RM1.5 Bilion Disalur Segera Demi Manfaat Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap bayaran interim pemberian khas kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat disalurkan secepat mungkin bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat negeri ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pengumuman bayaran interim berkenaan yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan pada Sabtu.

Sabah berharap dana tersebut dapat disalurkan secepat mungkin demi manfaat rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji turut menyambut baik jaminan Perdana Menteri, bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menghormati dan melaksanakan perkara-perkara yang termaktub di bawah Malaysia Agreement 1963.

Menurut beliau, komitmen itu membuktikan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Anwar merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab serta berusaha menunaikan janji yang telah dibuat kepada Sabah.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40 peratus, dapat direalisasikan,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar mengumumkan peningkatan bayaran interim pemberian khas kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara rundingan berhubung pelaksanaan penuh hak kewangan negeri di bawah MA63 dimuktamadkan.