PUTRAJAYA: Sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan mula menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa esok, dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna serta mewujudkan sistem pembiayaan yang lebih adil dan telus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan akta itu bersama Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 merupakan sebahagian daripada reformasi undang-undang bagi memperkukuh ekosistem kredit pengguna di negara ini.
Beliau berkata, antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah pemansuhan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78) yang sebelum ini sering menjadi punca ketidakpuasan hati pengguna, khususnya dalam urusan pembiayaan kenderaan.
“Peruntukan baharu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Armizan, sebelum ini ramai pengguna mengadu terpaksa menanggung baki pinjaman yang masih tinggi walaupun membuat penyelesaian awal kerana sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah berbanding prinsipal.
Selain itu, pindaan berkenaan turut membolehkan penggunaan teknologi dalam urusan perjanjian sewa beli termasuk tandatangan digital dan penyerahan dokumen secara elektronik bagi meningkatkan kecekapan proses.
Katanya, pindaan itu juga memperkenalkan keperluan dua proses usaha wajar (due diligence) bagi pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.
Armizan berkata, pelaksanaan akta itu akan dibuat secara berfasa dengan 11 entiti telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan kerangka baharu bermula 1 Jun 2026, manakala fasa kedua dijadual bermula September tahun ini.
“Para pengguna yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu ini dinasihatkan untuk membuat semakan berkaitan sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli,” katanya.
Beliau berkata, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses integrasi serta pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.
“Reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara,” katanya.






