KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini terus bertambah 136 kes daripada kelmarin yang membawa kepada jumlah keseluruhan 1,383 KES.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata dengan semua daerah di negeri ini dalam kategori Zon Merah, beberapa daerah hari ini menampakkan lagi kenaikan kes yang ketara antaranya Sandakan (naik 86 kes), Kota Marudu (naik 37 kes) dan Keningau (naik 36 kes).
“Daerah Kota Kinabalu mencatat kes terbanyak dengan 326 kes iaitu hampir 24 peratus daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah hari ini…
“Kontak rapat penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah, yakni 54.2 peratus atau 749 kes,” katanya dalam sebuah rumusan hari ini.
Satu kluster baharu turut dikesn di Kampung Timbua, Ranau dengan 50 kes aktif.
Beliau lagi memperingatkan masyarakat keperluan mematuhi semua (Prosedur Operasi Standard) SOP yang telah digariskan.
“Kes begitu tinggi yang melibatkan kontak rapat adalah satu petunjuk bahawa ada diantara kita yang masih lalai dalam pematuhan SOP…
“Ia juga satu peringatan agar kita mengurangkan aktiviti-aktiviti sosial agar kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan kerana ada pembawa virus COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang gejala,” tegasnya.
Di samping itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan agensi berkaitan sedang berusaha untuk memberi vaksin kpd rakyat dalam kadar yang cepat.
“Sehingga kelmarin (Isnin) sebanyak 1,126,645 dos pertama telah pun diberi, bermakna 40.8 peratus penduduk dewasa negeri Sabah telah pun disuntik sekurang-kurangnya dos pertama vaksin…
“Mereka yg telah melengkapkan suntikan dua dos masih rendah, yakni 17.6 peratus atau 485,880 dos daripada jumlah penduduk dewasa Sabah,” katanya.
Tambah beliau, usaha terus dibuat oleh Kerajaan untuk menambah kapasiti penyuntikan JKNS sambil memastikan bekalan vaksin yang ada sentiasa cukup.
Katanya dalam keadaan dimana virus itu sudahpun berada di tengah-tengah masyarakat , Kerajaan Negeri sedang mengejar masa untuk memberikan vaksin kepada setiap orang yang layak disuntik dengan kadar segera.
“Ini bermakna kes-kes baharu akan terus berada dalam angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperolehi vaksin…
“Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yg signifikan,” jelasnya.
Jumlah pecahan kes baharu positif COVID-19 hari ini mengikut daerah adalah seperti yang berikut:
Kota Kinabalu – 326
Tawau – 168
Sandakan – 138
Tuaran – 92
Penampang – 80
Keningau – 79
Kota Belud – 66
Beaufort – 65
Kinabatangan – 49
Kota Marudu – 41
Papar – 39
Beluran – 33
Tenom – 30
Putatan – 30
Sipitang – 22
Telupid – 19
Lahad Datu – 18
Kudat – 17
Kalabakan – 13
Pitas – 12
Tambunan – 11
Semporna – 10
Kuala Penyu – 8
Kunak – 8
Ranau – 4
Tongod – 4
Nabawan – 1