Seludup Dadah: Jangan Kompromi, Siasat Tanpa Mengira Pangkat – Mazlan

Seludup Dadah: Jangan Kompromi, Siasat Tanpa Mengira Pangkat – Mazlan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Siasatan menyeluruh tanpa mengira pangkat, kedudukan dan jawatan perlu dilaksanakan terhadap sindiket penyeludupan dadah yang disyaki melibatkan pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, pendedahan mengenai penyeludupan tiga tan dadah menerusi pangkalan TUDM di Labuan dan Tawau sejak 2024 amat membimbangkan, khususnya kepada rakyat Sabah.

“Ini bukan sekadar isu jenayah dadah, tetapi turut melibatkan persoalan integriti, pengkhianatan amanah dan keselamatan negara sekiranya dakwaan tersebut terbukti.

“Bagaimana kita mahu membendung kemasukan dadah sekiranya mereka yang diamanahkan menjaga keselamatan negara sendiri menjadi sebahagian daripada rangkaian penyeludupan dadah?” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mazlan menggesa keseluruhan rangkaian sindiket termasuk dalang dan pembiayanya dibongkar sehingga ke akar umbi, manakala hukuman setimpal dikenakan terhadap individu yang terbukti bersalah.

Beliau turut menggesa kawalan keselamatan, integriti dan pemantauan dalaman aset ketenteraan diperkasakan, selain memperketatkan kawalan kemasukan dadah ke Sabah melalui laluan udara, laut dan darat.

“Kita tidak mahu Sabah menjadi lubuk pengedaran dadah, apatah lagi menjadi hab transit penyeludupan dadah antarabangsa.

“Dadah tidak mengenal pangkat, tetapi undang-undang juga tidak seharusnya mengenal pangkat,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan menegaskan bahawa keseluruhan institusi TUDM tidak seharusnya dipersalahkan atas perbuatan segelintir individu, sebaliknya pengorbanan anggota tentera yang berkhidmat dengan penuh amanah dan integriti perlu terus dihormati.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak tentera atas kerjasama membongkar kegiatan sindiket berkenaan.

“Tiada kompromi terhadap dadah. Tiada kompromi terhadap pengkhianatan amanah,” tegasnya.