Atlet Negara Mula Jalankan Tugas Hari Ini Untuk Raih Pingat Emas Pertama...

Atlet Negara Mula Jalankan Tugas Hari Ini Untuk Raih Pingat Emas Pertama Di Olimpik Tokyo 2020

0
SHARE
Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh akan memulakan saingan dalam acara 'recurve' individu di lapangan pertandingan pada pagi Jumaat ini sebelum majlis pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara rasmi...

TOKYO, JEPUN – Seramai 30 atlet negara bakal beraksi di arena masing-masing bagi merebut pingat emas pertama buat negara menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai secara rasmi hari ini (Jumaat).

Dua atlet Malaysia dalam sukan memanah iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh masing-masing akan memulakan tugas awal mereka di lapangan pertandingan pada pagi Jumaat ini sebelum majlis pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara rasmi.

Kedua-dua pemanah elit negara itu akan memulakan saingan dalam acara recurve individu yang bakal berlangsung di Yumenoshima Park, Tokyo.

Bagi Khairul Anuar, penampilan ketiga di pentas Olimpik selepas edisi London 2012 dan Rio 2016 menjadi aset terbaik buatnya untuk membidik kilauan pingat kali ini.

“Kunci utama untuk saya melakukan yang terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah dengan melupakan kejayaan yang pernah dicipta sebelum ini…

“Saya perlu memberikan fokus kepada teknik panahan. Jadi, saya sangat berharap dapat melakukan yang terbaik kali ini,” katanya yang meraih perak pada Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Belanda.

Untuk rekod, Khairul Anuar menamatkan saingan bagi acara recurve individu pada kedudukan keenam pada Sukan Olimpik London 2012 sebelum tewas seawal pusingan kedua di Rio.

Sementara itu, Syaqiera tampil pada temasya Olimpik kali ini tanpa sebarang tekanan selepas mendapat kepercayaan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) beraksi di Tokyo.

Sebelum ini, Syaqiera terlepas peluang ke Tokyo selepas terkandas pada peringkat kedua acara recurve individu wanita di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli dengan keputusan 6-2 dalam Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Syaqiera juga gagal membantu dua rakan sepasukannya, Nur Ain Ayuni Fozi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil ke Tokyo menerusi acara recurve berpasukan apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 2-6 kepada trio Brazil.

Namun, tuah memihaknya apabila Malaysia mendapat slot ke Tokyo menerusi semakan World Archery mendapati ada dalam kalangan 64 pemanah yang layak tidak melepasi ‘Minimum Qualification Score (MQS)’ sebanyak 605 mata untuk acara wanita.

Keputusan itu menyaksikan NAAM memilih Syaqiera membawa cabaran Malaysia dalam acara recurve individu wanita dan campuran bersama Khairul Anuar.