KOTA KINABALU, SABAH – Sabah layak beralih ke Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 8 November 2021.
Demikian kata Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun pada akaun Twitter peribadinya tengah hari tadi.
“Walaupun lebih banyak sekatan akan ditarik balik di bawah Fasa 4, sila teruskan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP),” katanya lagi.
Semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh tertakluk kepada peraturan-peraturan kesihatan.
Setakat hari ini, seramai 2,253,868 penduduk dewasa Sabah telah lengkap divaksin manakala 2,380,264 lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos termasuk dos tunggal CanSino.
Laman web COVIDNOW merakamkan trend penurunan sebanyak 25 peratus (25%) kes COVID-19 baharu dalam Sabah dalam 14 hari yang lalu.
Dalam tempoh masa yang sama juga, Sabah merakamkan 15 kematian disebabkan virus itu dalam setiap 1 juta penduduk.