PBS Gesa SPR Beri Taklimat Undi-18 Untuk Elak Wujudnya ‘Pengundi Hantu’

PBS Gesa SPR Beri Taklimat Undi-18 Untuk Elak Wujudnya ‘Pengundi Hantu’

0
SHARE
Maximus mempengerusikan persidangan Majlis Tertinggi PBS pada Khamis...

PENAMPANG, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk memberi taklimat mengenai Undi18 kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata demikan dan dipersetujui sebulat suara pada persidangan Majlis Tertinggi PBS di pejabat pusat mereka di Donggongon, sini, semalam.

Beliau berkata parti tersebut berdiri teguh dengan keputusan untuk mengalu-alukan pengundi berumur 18 tahun namun sekerasnya membantah jika pendafataran mereka itu dilakukan secara automatik.

“Ini setelah mengambil kira betapa tercemar proses pendaftaran pengundi di Sabah yang dibuktikan dalam laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)…

“Oleh itu, kami mahukan SPR menerangkan kepada semua ahli parlimen dan ADUN di Sabah mengenai langkah-langkah dalam memastikan bahawa hanya orang Sabah dibenarkan mendaftarkan diri sebagai pengundi,” tegasnya.

Beliau berkata ada bukti berdasarkan laporan RCI yang menunjukkan kewujudan “pengundi hantu” di mana kad pengenalan mereka adalah sahih namun dimiliki dengan cara yang meragukan.

“Ianya penting supaya kita menyucikan senarai calon pengundi dari hantu-hantu tersebut…

“Sebanyak mana pun kita mahukan pengundi muda mengambil tanggungjawab sebagai penentu kerajaan, kita tidak mahu angka itu membiak secara tidak sihat,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu turut berharap SPR akan memberikan taklimat dan menjanjikan senarai calon pengundi yang bersih sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).