KOTA MARUDU, SABAH – Kekurangan tenaga kerja menjadi punca utama pengurusan isu air yang teruk berlaku di sini, demikian menurut Datuk Seri Dr Maximus Ongkili diberitahu, hari ini.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menegaskan sudah tiba masanya untuk menaik taraf jabatan air bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi bagi memenuhi permintaan di daerah itu.
“Saya diberitahu hanya terdapat satu pertiga tenaga kerja di Jabatan Air Kota Marudu, dimana daripada 150 kakitangan yang diperlukan, hanya 44 ditempatkan untuk mengurus dan memberi perkhidmatan kepada 75,169 pengguna di sini menerusi loji rawatan air Bandau, Simpangan dan Kg Gana…
“Sudah tiba masanya untuk menaik taraf operasi pejabat untuk menghentikan aduan mengenai gangguan dan bekalan air di Kota Marudu…
“Realitinya, masalah kekurangan dan gangguan air menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk di daerah ini,” kata Ongkili.
Bercakap selepas menerima Taklimat daripada Jabatan Air dan Jabatan Pembetungan daerah, Ahli Parlimen Kota Marudu itu juga berkata selain kekurangan tenaga kerja, masalah bekalan air juga berpunca daripada paip pecah, rosak dan lama, serta mesin rosak.

Ongkili mendedahkan bahawa situasi di Kota Marudu sama seperti yang berlaku di daerah lain, dimana masalah air kurang diberi keutamaan.
“Banyak daerah mengalami masalah yang sama, dan orang ramai terpaksa minum air tidak berkualiti. Sudah tiba masanya untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan, selaras dengan slogan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor – Sabah Maju Jaya,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata beberapa projek menaik taraf telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk memastikan penduduk Kota Marudu dapat menikmati bekalan air yang mencukupi dan bersih pada masa hadapan.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Adun Matunggong, Datuk Julita Majungki; Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan merangkap Adun Tandek Hendrus Anding; dan Pegawai Daerah Kota Marudu Alexander Yong.





