Polis Sarawak Tahan 9 Individu Dalam Satu Serbuan Kasino Mini Di Sebuah...

Polis Sarawak Tahan 9 Individu Dalam Satu Serbuan Kasino Mini Di Sebuah Rumah

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Polis menahan sembilan (9) individu dan merampas pelbagai peralatan judi dalam serbuan kasino mini di sebuah rumah berkembar di Taman Sik Juan, Jalan Foochow di sini, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong berkata kesemua suspek ditahan dalam serbuan sekitar jam 5 petang itu merupakan lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 28 tahun.

Memetik laporan Utusan Borneo, rumah berkembar dua tingkat yang diserbu itu juga mempunyai satu bilik berasingan di ruang belakang rumah yang dijadikan sebagai mini kasino.

“Aktiviti mini kasino tersebut berjalan hampir enam bulan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Denis turut berkata hasil pemeriksaan juga mendapati premis perjudian tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di hadapan dan belakang rumah yang juga berpagar dengan ketinggian lebih kurang tujuh kaki.

Sumber Foto: Ihsan Utusan Borneo…

Tambahnya juga, pelbagai peralatan perjudian turut dirampas dalam serbuan tersebut antaranya 413 keping cip, 104 keping daun terup, dua buah meja permainan Texas Poker dan sebuah buku catitan transaksi perjudian.

Bagaimanapun menurut beliau, tiada pertukaran wang tunai di lokasi dan difahamkan, wang kemenangan akan dikreditkan terus ke akaun pemenang.

Kes itu disiasat di bawah seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, Denis turut memaklumkan bahawa seorang anggotanya mengalami kecederaan semasa serbuan tersebut.

“Beliau tercedera di bahagian bawah lengan kiri apabila badannya tercucuk pancang pagar tersebut semasa memanjat pagar rumah berkenaan,” jelas beliau sambil menambah, anggotanya kini sedang berehat di rumah.