KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa para peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman akan terus mendapat manfaat daripada subsidi LPG, meskipun peraturan baharu sedang dipinda.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali, berkata demikian dalam satu sidang media sempena sesi libat urus mengenai Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang diadakan bersama wakil-wakil persatuan peniaga makanan dan minuman di Sabah hari ini.
“Pindaan yang dicadangkan bukan bertujuan menyusahkan peniaga kecil, malah ia mengambil kira keperluan mereka agar terus mendapat manfaat subsidi LPG,” ujar beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Menurut Armizan, berbeza dengan versi pindaan sebelumnya yang mengehadkan penggunaan silinder LPG bersubsidi kepada tidak lebih 42 kilogram pada satu-satu masa, pindaan baharu akan lebih fleksibel dan mesra peniaga.
Armizan turut menegaskan bahawa sesi libat urus ini amat penting dalam mengenal pasti mekanisme kawalan yang lebih efektif bagi membanteras ketirisan subsidi, khususnya penyalahgunaan dan penyeludupan gas LPG bersubsidi.
“KPDN sangat mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak, terutamanya persatuan peniaga makanan dan minuman, untuk bersama-sama membentuk dasar yang seimbang dan adil,” katanya.
Pindaan peraturan ini juga dijangka dilaksanakan selepas berakhirnya OPS GASAK, satu operasi penguatkuasaan besar-besaran yang sedang dijalankan.
Pada masa yang sama, OPS KESAN 4.0 pula akan bermula secara rasmi pada 1 Julai 2025, iaitu esok, sebagai langkah susulan bagi memperkukuh kawalan terhadap penyelewengan bekalan bersubsidi.
Beliau memberi jaminan bahawa sesi libat urus akan diteruskan ke seluruh negeri bagi memastikan suara semua pemegang taruh didengari dan diambil kira sebelum pindaan dilaksanakan sepenuhnya.






