Lelaki Dikhuatiri Terjun Sungai Kinabatangan, Ditemui Meninggal Dunia di Kg Bilit

Lelaki Dikhuatiri Terjun Sungai Kinabatangan, Ditemui Meninggal Dunia di Kg Bilit

0
SHARE

SUKAU: Seorang lelaki yang dikhuatiri terjun ke dalam Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit, Sukau, akhirnya ditemui meninggal dunia setelah operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama hampir sehari oleh pihak berkuasa.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Zulkarnain Yusuf, 42 tahun, disahkan meninggal dunia setelah mayatnya ditemui sekitar jam 9.45 malam pada 29 Jun.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Bilit, lokasi terakhir manga dilaporkan dilihat terjun ke sungai.

Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan menerima panggilan kecemasan jam 9.12 pagi dari Balai Polis Kampung Sukau yang memaklumkan kejadian tersebut.

Menurut pemanggil, mangsa telah dilihat terjun ke dalam sungai seawal jam 6 pagi pada 28 Jun 2025.

Sepasukan anggota bomba dari BBP Kota Kinabatangan segera dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 60 kilometer dan tiba sekitar jam 10.20 pagi.

Operasi pencarian dilaksanakan dengan kaedah water surface searching sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Operasi turut disertai oleh anggota PDRM (4 orang), APM (5 orang), dan orang awam (5 orang) yang membantu dalam usaha pencarian.

Penemuan mayat mangsa kemudian disahkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi dan menjalankan proses mengangkat mayat.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.40 malam setelah disahkan tiada lagi bahaya lain di lokasi.

Pihak berkuasa menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berada berhampiran kawasan sungai, terutama pada awal pagi atau ketika cuaca tidak menentu.