LAHAD DATU: Kecekapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menyelamatkan dua individu selepas sebuah bot pam terbakar berhampiran perairan Telukan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata kejadian berlaku ketika aset Maritim Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke jeti selepas menjalankan operasi di kawasan tersebut sebelum mengesan kepulan asap dan api dari sebuah bot pam berhampiran.
“Pasukan bertindak pantas memberikan bantuan awal bagi mengawal api dan memastikan dua individu di atas bot, dikenali sebagai Ishara binti Mansor dan Mizfar, berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata api berjaya dikawal hasil tindakan segera anggota di lokasi sebelum bot tersebut diiring ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Dzulfikhar turut menasihatkan komuniti nelayan agar sentiasa memeriksa keadaan bot masing-masing, khususnya enjin, pendawaian dan penyimpanan bahan api bagi mengelakkan risiko kebakaran di laut.
Dalam operasi sama, katanya, sebuah vesel pukat jerut turut ditahan selepas dikesan beroperasi terlalu hampir dengan daratan, iaitu kira-kira 0.9 batu nautika selatan Tanjung Melandong.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan seorang tekong tempatan berusia 32 tahun bersama dua kru warga tempatan berumur 18 dan 31 tahun serta melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan,” jelas beliau.
Dzulfikhar menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha nelayan yang melanggar syarat lesen, terutama yang beroperasi di kawasan larangan.
“Peraturan jarak operasi ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin dan memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” katanya.






