KOTA MARUDU: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) N.6 Bandau, Ardino Diris, mengumumkan bahawa beliau bersama lebih separuh Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian akan terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, walaupun STAR pusat memutuskan keluar daripada gabungan itu.
Ardino berkata, keputusan itu dibuat demi kestabilan politik dan kesinambungan perjuangan hak Sabah yang diperjuangkan sejak bersama Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan hampir dua dekad lalu.
“Saya menghargai perjuangan Dr Jeffrey yang kini turut disokong semua parti tempatan. Namun, kami di Bandau percaya GRS adalah wadah terbaik untuk kestabilan dan pembangunan Sabah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat AJK STAR Bandau, Ahad.
Beliau menegaskan GRS bukan sekadar gabungan politik tetapi lambang perpaduan rakyat Sabah untuk mentadbir negeri secara seimbang dan stabil.
Turut menyatakan sokongan ialah Naib Ketua Bahagian Okiong Gintotok dan Jappri Taising, Setiausaha Helney Johari, Bendahari Jennifer Mampahau, serta 53 daripada 71 ketua cawangan STAR Bandau.
Ardino turut merakam penghargaan kepada Dr Jeffrey atas bimbingan sepanjang perjuangannya dan menyerahkan kedudukannya dalam parti kepada kebijaksanaan kepimpinan pusat.






