UMAT ISLAM SABAH DIINGATKAN TIDAK TERPERANGKAP DALAM ZON SELESA: KM HAJIJI

UMAT ISLAM SABAH DIINGATKAN TIDAK TERPERANGKAP DALAM ZON SELESA: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin diiringi dif-dif kenamaan dan ribuan umat Islam berarak ke Sabah International Convention Centre (SICC) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024H ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum bumiputera tetap terjamin dan terbela.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu, berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa serta negara.

Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Rasulullah SAW semata-mata.

Katanya, ia merupakan salah satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali di kalangan anak muda dan belia Muslim.

Mengulas lanjut, beliau berkata selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.

“Budi pekerti Rasulullah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024H bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hajiji berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang akan meletakkan masyarakat ummah setaraf dengan bangsa lain yang lebih maju di dunia.

Menurutnya, pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah
SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk
membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.

Katanya, modal insan yang berkualiti adalah pra syarat terpenting dalam mencapai
wawasan negeri dan negara kerana tanpanya negara akan menjadi lemah serta tidak mampu untuk bersaing dalam mana-mana bidang di peringkat antarabangsa.

“Justeru hasrat murni kerajaan ini, bukan sahaja harus disambut baik oleh seluruh rakyat, bahkan harus disokong dan didukung oleh masyarakat ummah, demi kemajuan berterusan dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.