SIPITANG, SABAH – Pemimpin dan Komuniti diseru tingkatkan kesedaran masyarakat tentang isu keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pada tahun lepas sahaja, sebanyak RM432 juta simpanan rakyat negara ini lesap angkara jenayah dalam talian.
“Sebagai Menteri Komunikasi, saya mohon bantuan daripada ahli parlimen, ketua-ketua komuniti dan pemimpin-pemimpin pembangunan kampung untuk terus berusaha meningkatkan makluman kesedaran di kalangan rakyat tentang keselamatan dalam talian.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial, pada tahun lalu sahaja, rakyat Malaysia kehilangan RM432 juta akibat scammer atau penipuan dalam talian,” katanya ketika berucap dalam Program Hari Bersama Komuniti di Dewan SJK (C) Chung Hwa, Mesapol pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua pengguna internet agar menggunakan perkhidmatan internet yang disediakan dengan betul untuk kebaikan dan memberi faedah kepada masyarakat.
“Gunakan peluang untuk mempromosikan tempat-tempat menarik disini agar pelancong-pelancong datang, selain itu cari produk-produk asal sini yang boleh dipromosikan sama ada bersama Nadi untuk dikomersialkan di luar, manfaatkan internet, memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan supaya kita dapat bangunkan Sipitang bersama.
“Selain itu, sentiasa berhati-hati apabila melayari internet, baru-baru ini seorang pemandu bas sekolah merakam pelajar-pelajar yang dibawa dalam bas yang menjadi satu kes di mahkamah, dia merasakan tiada sebarang kesalahan namun dari beberapa perkara yang disiasat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PDRM menunjukkan ada pelanggaran hukum,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengajak masyarakat menghayati dan memaknai bulan kemerdekaan sempena Sambutan hari Malaysia yang akan berlangsung Isnin depan.
“Sempena Bulan Kebangsaan, sempena sambutan Hari Malaysia, saya ingin menyentuh satu perkara yang sangat penting iaitu keperluan kita menyemarakkan rasa cinta kepada negara, mengajak masyarakat semua yang ada disini sama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada Isnin nanti.
“Kita menyambut Hari Malaysia tahun ini di Sabah, tahun lalu di Kuching, Sarawak namun paling penting kita sentiasa memahami dan memaknai bukan hanya kemerdekaan tapi juga apakah ertinya membangun dalam sebuah negara bernama Malaysia.
“Saya harap terutama untuk ibu-ibu dan ayah, didiklah anak-anak kita tentang sejarah, Negeri Sabah dalam Malaysia yang mana, kita sekarang dengan kestabilan yang ada, terutama dalam dua tahun kebelakangan ini kita mampu menyelesaikan banyak perkara antaranya dua tiga hari yang lalu, mesyuarat MA63 telah menyaksikan pengumuman bahawa daripada 11 perkara yang telah diselesaikan dalam MA63, tujuh telah diselesaikan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Datuk Matbali Musah, Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd, Datuk Dr. Yusof Yacob, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa, Setiausaha tetap Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia, Julina Johan. — JABATAN PENERANGAN SABAH