PPM Patahkan Kegiatan Seludup Rokok Bernilai RM4.4 Juta

PPM Patahkan Kegiatan Seludup Rokok Bernilai RM4.4 Juta

0
SHARE
Sumber Foto; Harian Metro

NEGERI SEMBILAN – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan rokok tiruan terbesar berikutan kejayaan rampasan 435,000 paket rokok bernilai kira-kira RM4.4 juta.

Memetik laporan Harian Metro, rampasan itu dilakukan semasa Op Gelora Khas, pada jam kira-kira 9 malam, pada Khamis lalu, di Sungai Sekawang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Komander PPM Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Abdullah berkata, rampasan terbesar itu hasil risikan maklumat diterima dan pemantauan selama dua jam.

Beliau berkata, PPM mengesan dua buah bot dan tiga lori di lokasi kejadian berada dalam keadaan mencurigakan dan terdapat aktiviti pemunggahan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua dua bot pancung itu kemudian bertindak memecut laju meninggalkan lokasi dan menghala ke perairan Indonesia.

“Pemeriksaan dilokasi dan didalam lori menemui sejumlah 435, 000 paket rokok tiruan pelbagai jenama antaranya John White, Canyon Merah dan U21 Merah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas PPM Wilayah II Kuala Linggi, hari ini.

Abdul Rahim berkata, kesemua rampasan itu bernilai RM4, 884, 800 termasuk tiga buah lori yang disita.

“Kami percaya rokok ini diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan oleh sindiket atau individu persendirian ke beberapa lokasi.

“Siasatan awal mendapati antara lokasi yang dikenal pasti menjadi sasaran rokok tiruan ini adalah di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, dipercayai antara tujuh hingga 10 individu yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan rokok tiruan itu.

“Bagaimanapun kesemua mereka berjaya meloloskan diri. Ada daripada mereka melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan menaiki bot.

“Seorang daripada anggota operasi turut tercedera dibahagian muka termasuk patah gigi akibat dilanggar oleh bot pancung yang cuba melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, selain disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) kerana mengangkut atau membawa barang terlarang dan kes juga disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.