KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad mendakwa penahanan beberapa pemimpin kanan Parti Warisan Sabah (Warisan), termasuk Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal bertujuan untuk melumpuhkan parti itu dan menakutkan para penyokongnya.
Memetik portal bebas SarawakVoice, bekas Perdana Menteri yang memerintah selama 22 tahun itu juga mendakwa penahanan pemimpin kanan Warisan itu adalah atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kali ini Najib mengarahkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menangkap pemimpin-pemimpin Warisan di Sabah,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.
Pegawai SPRM diugut untuk melaksanakan arahan Najib. Jika tidak patuh tindakan tertentu akan diambil. Mereka mungkin diturunkan pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuhkan hak pencen dan bermacam lagi,” katanya.
Mahathir seterusnya mendakwa, pegawai tinggi PDRM, pegawai di jabatan pendakwa raya termasuk pengarah syarikat dalam Khazanah ditakutkan supaya menyokong perbuatan salah Najib demi menang pilihan raya.
Mahathir untuk sekian lama menyerang dan mengkritik kepemimpinan Najib, tanpa henti setiap minggu, baik di pentas politik mahupun melalui blognya.
Penahanan Shafie dipercayai ada kaitan dengan dakwaan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah ketika di bawah teraju beliau.
Penyelewengan dalam agihan projek luar bandar di Sabah itu, dikesan berlaku antara tahun 2009 hingga 2015, ketika beliau mengetuai KKLW.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.
Shafie, 60, ditahan SPRM pada malam Khamis selepas dipanggil ke pejabat SPRM Sabah, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terhadap kes penyelewengan terbabit.
Sebelum ini media melaporkan, 350 projek KKLW membabitkan 170 projek bekalan air, jalan raya (163 projek) dan bekalan elektrik (17) di sembilan daerah di Sabah membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM7.5 bilion dipantau SPRM.
Lebih 50 individu dipanggil memberi kenyataan kepada SPRM sejak kes itu dibongkar, awal bulan ini.
Sebelum ini, 10 individu ditahan SPRM berhubung kes berkenaan termasuk dua adik Mohd Shafie, iaitu ahli perniagaan Hamid Apdal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal.